GEORGE TOWN – Seorang pakar forensik sebuah hospital kerajaan di sini sekali lagi ditahan atas dakwaan berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus, tahun lalu.
Suspek lelaki tempatan berusia 43 tahun itu diberkas pada pukul 9.15 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini.
Perintah reman ke atas pakar perubatan itu diperoleh selama empat hari bermula hari ini. Kosmo! difahamkan, suspek bekerja sambilan di klinik berkenaan.
Mangsa membuat laporan polis pada Selasa lalu selepas menyedari doktor tersebut adalah individu sama yang melakukan perbuatan tidak senonoh ke atas dirinya di sebuah klinik swasta, tahun lalu.
Suspek ditahan pada 26 Februari lalu kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja di sebuah hospital. Bagaimanapun lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas reman berakhir pada Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pada pukul 10.16 malam, Selasa lalu, seorang wanita berusia 30 tahun membuat laporan mengenai kelakuan tidak senonoh oleh doktor terhadapnya di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 28 Jun 2023, pukul 6.30 petang di mana mangsa pergi ke klinik tersebut untuk mendapatkan laporan keputusan ujian darah.
“Mangsa berjumpa dengan suspek dalam bilik rawatan sebelum diperdaya oleh pegawai itu untuk membuka baju dan berlari setempat bagi tujuan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, suspek juga disyaki merakam gambar badan pengadu menggunakan telefon bimbit semasa pemeriksaan kesihatan. -KOSMO! ONLINE