fbpx

Cuaca panas tidak teruk disebabkan La Nina lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING – Malaysia kini berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut yang menyebabkan taburan hujan berkurangan di kebanyakan tempat terutama di kawasan Utara Semenanjung Malaysia.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, fenomena yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac 2025 itu menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding biasa.

Bagaimanapun, kata NRES, cuaca panas di Malaysia ketika ini tidak seteruk tahun 2024 disebabkan pengaruh La Nina lemah yang menyebabkan cuaca sedikit lembap.

“Namun, jerebu tempatan masih boleh berlaku sekiranya insiden pembakaran terbuka tidak dikawal,” kata NRES dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, NRES memaklumkan, Malaysia akan berhadapan dengan Monsun Barat Daya yang membawa cuaca panas dan kering sekitar bulan Mei hingga September tahun ini.

Fenonena itu dijangka mengurangkan hujan antara 20 peratus hingga 40 peratus di Utara, Pantai Barat dan Timur Sabah pada Mac 2025 dan di Barat Sarawak pada April 2025.

“Negara dijangka akan menerima taburan hujan pada paras normal pada bulan Julai dan Ogos 2025,” kata kenyataan itu.

Justeru, NRES meminta semua pihak memainkan peranan mencegah pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan kemerosotan kualiti udara negara dan impak negatif kepada kesihatan awam.

“Semua pihak diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis diceroboh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka.

“Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah,” kata kenyataan itu.

NRES berkata, selaras dengan kepengerusian ASEAN 2025, kerajaan akan meneroka peluang mengetengahkan beberapa strategi dalam menambah baik pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Merentas Sempadan (AATHP)

Kata NRES, kerajaan juga akan terus meneroka peluang kerjasama dua hala bersama Indonesia bagi mengatasi masalah itu.

Terdahulu, NRES memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) telah diadakan pada 5 Mac lalu.

Kata NRES, beberapa perkara dipersetujui bagi mempertingkatkan langkah pencegahan dan pemantauan berterusan untuk mengekang pembakaran terbuka, jerebu serta kebakaran berulang.

Jelas NRES, antara yang dipersetujui, semua pihak perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan kualiti udara negara melalui maklumat yang boleh dicapai daripada aplikasi.

“Kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri perlu peka dan sentiasa bersedia untuk mengambil tindakan seleras dengan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“Memastikan kesiapsiagaan infrastruktur tanah gambut dan jentera berkaitan bagi memastikan sebarang insiden kebakaran dapat dipadamkan dengan segera. Memantau dan melaksanakan pencegahan kebakaran tanah gambut yang dimiliki di negeri masing-masing,” kata NRES.

Menurut NRES, kerajaan negeri turut diseru untuk membangunkan infrastruktur tanah gambut di kawasan berisiko terbakar seiring usaha yang telah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI