COPENHAGEN – Chelsea memulakan kempen pusingan 16 terbaik Liga Konferens Eropah dengan langkah kanan selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Copenhagen di Stadium Parken awal pagi tadi.
Kejayaan itu meletakkan The Blues selangkah lebih dekat ke pentas suku akhir sambil menyaksikan dua bintang utama, Reece James dan Enzo Fernandez tampil sebagai wira pasukan dengan masing-masing meledak satu gol.
Perlawanan bermula agak perlahan dengan kedua-dua pasukan bergelut mencari rentak dalam babak pertama, namun hanya seminit selepas rehat, Chelsea akhirnya memecah kebuntuan menerusi jaringan cantik James.
Gol pembukaan tersebut menyuntik semangat skuad kendalian Enzo Maresca untuk terus menguasai permainan, namun tuan rumah hampir menyamakan kedudukan sejurus selepas itu.
Chelsea menggandakan kelebihan pada minit ke-65 apabila Fernandez menyempurnakan gerakan lincah remaja berbakat Tyrique George dan gol kedua itu seakan mengesahkan dominasi mereka di atas padang.
Namun, kealpaan benteng Chelsea dihukum pada minit ke-79 apabila Gabriel Pereira mudah menanduk masuk gol tuan rumah hasil sepakan percuma, menghidupkan semula harapan Copenhagen menjelang aksi timbal balik nanti.
Meskipun membawa bekalan tipis, keputusan itu cukup berharga buat Chelsea yang sedang memburu trofi pertama di bawah bimbingan Maresca.
The Blues bakal turun dengan misi mengesahkan kemaraan ke suku akhir di Stamford Bridge minggu depan, sambil terus mengintai peluang beraksi di pentas final di Wroclaw, Poland pada 28 Mei nanti.
Untuk rekod, Chelsea yang pernah menjulang dua gelaran Liga Juara-Juara Eropah kini melihat Liga Konferens Eropah sebagai peluang terbaik menambah koleksi trofi selain membuka jalan ke pentas Liga Europa musim depan jika mereka bergelar juara. – AFP