PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita warga emas berbangsa Cina bersedekah sempena Ramadan di sebuah masjid di ibu negara meninggalkan rasa kagum.
Menurut perkongsian Mohammad Saad Abdullah, wanita tersebut dilihat sempat berhenti sejenak di kaki tangga Masjid Al-Ansar sebelum menggenggam pemegang tangga satu demi satu dengan perlahan.
“Akhirnya, setelah sekian lama, dia sampai di puncak tangga lalu mengeluarkan wang kertas RM10 daripada beg tangannya.
“Wajahnya berubah lembut dengan senyuman tenang, seolah-olah beban di hatinya telah terangkat,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Tambahnya, meskipun wanita itu tidak berkongsi kepercayaan yang sama dengan jemaah masjid, namun kebaikannya melampaui batas agama.
Dia turut berkata, momen yang dianggap seakan terhenti di udara itu menjadi peringatan yang sangat berguna mengenai keindahan kemanusiaan.
“Perjalanan wanita tersebut menaiki tangga bukan sekadar untuk memasukkan duit ke dalam tabung derma, tetapi juga satu ungkapan mendalam tentang perpaduan, kebaikan, dan semangat keikhlasan yang abadi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE