EMPAT siri persahabatan menentang Afrika Selatan menjadi medan berguna buat skuad hoki wanita negara mempelajari banyak perkara penting meskipun tidak mencatat keputusan memberangsangkan.
Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Nasihin Nubli Ibrahim mengakui pertemuan menentang pasukan No. 21 dunia yang cukup berpengalaman di pentas tertingggi dunia memberi pendedahan berkualiti kepada pemain dari aspek ketahanan fizikal, ketajaman di depan gawang dan disiplin bertahan di kawasan D.
“Afrika Selatan adalah pasukan yang kuat serta tiap kali bertandang dalam Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Ini adalah peluang yang amat baik untuk kami mendapatkan perlawanan berkualiti di awal tahun 2025,” katanya.
Bagi Nasihin, peluang beraksi di bulan Ramadan bukan alasan untuk pemain tampil lesu, apatah lagi mereka dibantu secara langsung oleh pakar pemakanan sukan Institut Sukan Negara (ISN) yang memberikan panduan mengenai pemakanan dan penghidratan sepanjang tempoh latihan serta perlawanan.
“Ramai antara pemain kita pernah bermain dalam bulan puasa, jadi bukan isu besar. Tambahan pula, perlawanan berlangsung pukul 9.30 malam, dua jam selepas berbuka. Pemain dapat menyesuaikan diri dengan baik,” jelasnya.
Dari sudut taktikal, Nasihin menggunakan siri persahabatan itu untuk menguji gabungan pemain muda dan senior, selain memberi ruang kepada beberapa muka baharu membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa.
Nasihin turut melihat siri menentang Afrika Selatan ini sebagai persiapan penting memandangkan kalendar antarabangsa tahun ini cukup padat, termasuk cabaran besar di Piala Dunia Remaja dan Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
Pendedahan awal menentang pasukan berkelas dunia memberi gambaran jelas mengenai aspek yang perlu diperbaiki menjelang dua kejohanan penting tersebut.
Meskipun tewas dalam tiga perlawanan awal, Malaysian Tigress berjaya menutup siri persahabatan itu dengan kemenangan tipis 2-1 pada Selasa lalu hasil jaringan padang Fatin Shafika Mahd. Sukri dan Azmyra Mia Sofea Azhairy.