fbpx

Bengkel terbakar, 17 motosikal pelanggan musnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah rumah dan bengkel yang terbakar dalam kebakaran di Kampung Sri Tanjung, Pasir Pekan dekat Tumpat hari ini. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI

TUMPAT – Seorang mekanik hanya mampu melihat 22 motosikal pelanggan termasuk lima buah milik keluarganya bernilai lebih RM100,000 terbakar selepas kawasan rumah yang dijadikan bengkel musnah dalam kebakaran di Taman Sri Tanjung, Pasir Pekan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, Mohd. Firdaus Zamri, 21, berada di rumah rakannya di kampung sama sebelum terus bergegas pulang apabila dihubungi abangnya mengenai kejadian tersebut.

Mohd. Firdaus berkata, kebakaran itu turut memusnahkan dua buah kereta termasuk sebuah miliknya jenis Proton Perdana yang baru dibeli daripada abangnya di Kuala Lumpur.

“Saya terus bergegas pulang ke rumah sebaik menerima panggilan daripada abang. Apabila sampai di rumah, saya tergamam melihat api sedang menjilat kawasan rumah yang turut dijadikan bengkel membaiki motosikal.

“Saya tidak sempat menyelamat kesemua motosikal pelanggan termasuk yang sudah siap dibaiki kerana api sangat marak ketika itu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Katanya, dia sudah menghubungi semua pelanggannya untuk memaklumkan kejadian itu dan motosikal paling mahal yang musnah antaranya Yamaha RXZ, Yamaha Y15 dan Yamaha 125Z.

Bagaimanapun Mohd. Firdaus memberitahu, dia bersyukur kerana ibunya, Anisah Ariffin, 61, bersama adik-beradik yang lain sempat menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Anisah berkata, dia dikejutkan oleh anaknya Mohd. Adam Zamri, 18, terus bergegas keluar menyelamatkan diri dengan sehelai sepinggang.

“Saya tidak sempat menyelamatkan wang tunai RM1,000 yang disimpan untuk menebus barang kemas yang digadai baru-baru ini. Selain itu barang kemas yang dianggarkan bernilai RM50,000 juga tidak sempat diselamatkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI