SKUAD Besbol5 (B5) negara meletakkan sasaran tinggi untuk berada dalam kelompok tiga terbaik Piala Asia Besbol5 Remaja 2025 berlangsung di Taipei City, Taiwan minggu depan.
Kejayaan itu akan membuka laluan buat pasukan kebangsaan ke Piala Dunia 2025 di Mexico dan Sukan Olimpik Belia 2026 di Dakar, Senegal.
Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Sofbol Malaysia (SAM), Willeam Mah Choon How apabila optimis dengan prestasi semasa skuad B5 negara yang kini berada di ranking ke-17 dunia dan No. 1 Asia Tenggara.
“Kalau dapat menempatkan diri dalam Top 3, secara automatik kita akan layak ke Piala Dunia di Mexico selain menempah slot ke Sukan Olimpik Belia 2026 di Dakar. Itu sasaran utama pasukan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan B5 Malaysia di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil kelmarin.
Willeam turut menjelaskan, fokus utama B5 Malaysia bukan sekadar kejayaan di Piala Asia, malah turut menjadikan Sukan SEA Thailand 2025 sebagai misi penting untuk membawa pulang pingat buat Malaysia.
“Warna pingat belum kita tetapkan, tetapi saya yakin kita mampu mencipta sejarah di Thailand nanti,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Dr. Vellapandian Ponnusamy memaklumkan skuad B5 akan menjalani latihan berpusat sepenuhnya di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) sebaik pulang dari Taiwan.
“B5 ini sukan baharu yang akan dipertandingkan di Sukan SEA 2025, jadi ia sangat penting. ISN bersama MSN akan memberikan sokongan penuh dari segi sains sukan, perubatan sukan serta program pemulihan bagi memastikan mereka bersedia sepenuhnya,” katanya.
Vellapandian turut percaya barisan kejurulatihan yang berdedikasi serta persiapan rapi bakal meletakkan Malaysia sebagai pencabar utama dalam sukankian berkembang itu.
“Buat masa ini, mereka adalah pasukan No.1 ASEAN. Melihat trend positif ini, saya yakin mereka mampu memberikan kejutan bukan sahaja di Piala Asia tetapi juga di Sukan SEA nanti,” tambahnya.