PETALING JAYA – Rezeki tidak dijangka, pelakon Eyka Farhana bersyukur dapat mengerjakan umrah bersama keluarga dan bakal mentua, sekali gus berpeluang berpuasa di Tanah Suci.
Malah, Eyka atau nama lengkapnya Wan Atiqa Sarmizi, 30, menyifatkan pengalaman merasai Ramadan di Mekah bersama semua insan kesayangan adalah kenangan paling indah dan bahagia buat dirinya sepanjang hayat.
“Allah itu Maha Mendengar, tahun ini mama dapat pergi umrah dengan semua anak-anak dan rezeki kita berpuasa di Tanah Suci ini.
“30 tahun saya hidup, inilah momen paling indah dan bahagia yang tak dapat nak ulang balik kenangan kita di sini,” katanya dalam InstaStory.
Dalam masa sama, pelakon drama Cikgu Diva itu berkongsi tentang impian ibunya yang sememangnya ingin ke mengerjakan umrah bersama kesemua anak-anaknya.
“Dari dulu mama selalu cakap satu hari nanti kalau boleh dia nak buat umrah dengan semua anak-anaknya.
“Banyak kali saya suruh mama pergi dulu tetapi dia tak nak sebab mahu pergi satu keluarga,” jelasnya.
Februari lalu, Eyka berkongsi berita menunaikan umrah bersama keluarga dan bakal mentua. – KOSMO! ONLINE