fbpx

Trafik udara Januari 2025 atasi paras pra-pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan prestasi trafik penumpang udara Malaysia bagi Januari 2025 mencatatkan 9.2 juta, iaitu 106.1 peratus daripada paras Januari 2019 untuk melepasi jumlah sebelum pandemik buat kali pertama.

Jumlah penumpang meningkat sebanyak 3.8 peratus bulan-ke-bulan (MoM) dari Disember 2024 dan 28.2 peratus tahun-ke-tahun (YoY) dari Januari 2024, mencerminkan momentum berterusan dalam perjalanan domestik dan antarabangsa.

Pasaran domestik mencatatkan 4.4 juta penumpang, meningkat sebanyak 6.9 peratus MoM dan 32.7 peratus YoY.

Sementara itu, trafik antarabangsa pula berjumlah 4.8 juta penumpang, menurun sebanyak 1.2 peratus MoM, tetapi meningkat 24.4 peratus YoY.

Pada Januari 2025, trafik penumpang udara antarabangsa menyumbang sebanyak 52.3 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala trafik domestik pula merangkumi 47.7 peratus.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim, berkata, pertumbuhan berterusan trafik penumpang mencerminkan kekuatan sektor penerbangan Malaysia, dan peranannya yang semakin meningkat dalam kesalinghubungan serantau.

“Seiring dengan perkembangan industri, Mavcom kekal komited dalam memastikan landskap penerbangan dikawal selia dengan baik serta berorientasikan pengguna.

“Bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, kami akan memperkenalkan papan pemuka prestasi dinaik taraf, yang bakal memberikan pandangan yang lebih mendalam mengenai metrik utama syarikat penerbangan dan lapangan terbang.

“Inisiatif ini selaras dengan komitmen kami untuk menegakkan kualiti perkhidmatan dan piawaian operasi, serta menyokong kedua-dua pengguna dan pihak berkepentingan industri dengan maklumat berasaskan data yang bernilai,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI