KUALA LANGAT – Polis tidak bersikap memilih bulu atau ‘double standard’ dalam menjalankan siasatan terhadap kes melibatkan isu agama, raja dan kaum (3R).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, sebuah pasukan khas ditubuhkan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas yang hanya memfokuskan kes tersebut tahun lalu.
Tegas beliau, tanggungjawab polis adalah menjalankan siasatan terperinci selepas menerima aduan berkaitan segmen 3R di negara ini.
“Apabila kertas siasatan kes itu diselesaikan pasukan khas, ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi pendakwaan di mahkamah.
“Sama ada wujud pertuduhan atau tidak, ia berada di luar kuasa polis. Justeru, tidak timbul isu ‘double standard’ kes itu lambat, kes ini cepat,” katanya ketika meninjau sebuah kilang haram memproses sisa elektronik termasuk 50 tan peluru dan kelongsong di Telok Panglima Garang di sini, petang ini.
Mengulas lanjut, kata Saifuddin, sebarang perbandingan dan tuduhan berkaitan isu 3R tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada negara. – KOSMO! ONLINE