fbpx

‘Lantik ibu ke JKP, saya akan berjuang habis-habisan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROSEDUR perceraian Beego dan Linda akan diteruskan dengan pelantikan Jawatankuasa Pendamai pada 23 April depan. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR: Kes permohonan cerai pasangan pelakon, Beego dan Linda Hashim akan diteruskan dengan pelantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 23 April depan selepas tiada lafaz cerai berlaku hari ini.

Perkara yang diputuskan di hadapan hakim, Wan Mohd Najib Wan Hamat itu dikongsikan peguam syarie mewakili Beego iaitu Muhammad Akmal Amzan ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada sebutan kedua permohonan perceraiannya, di sini, pagi tadi.

“Tarikh akan datang adalah untuk lantikan wakil JKP dan kami sudah putuskan untuk melantik ahli keluarga dan pihak sana juga akan melantik ahli keluarga,” katanya.

Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, berkata, dia memutuskan untuk memilih ibunya sebagai wakil.

“Hari ini adalah sebutan kedua untuk kes permohonan cerai kami dan pada sebutan pertama sebelum ini, saya tiada. Jadi, hari ini apabila mahkamah bertanya sama ada saya setuju atau tidak dengan permohonan isteri untuk bercerai, saya cakap tidak bersetuju.

“Saya akan melantik orang yang paling dekat dengan saya iaitu ibu saya sebab seluruh senario dan situasi, ibu saya tahu. Cuma lantikan ini untuk yang baik-baik saja,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, anak guamnya tetap bertegas untuk meneruskan perceraian.

“Hari ini adalah sebutan kedua, sebutan pertama adalah pada 6 Februari lalu dan alhamdulillah hari ini defendan (Beego) hadir bersama peguamnya.

“Hari ini kami menyatakan pendirian anak guam saya, Linda yang mahu meneruskan perceraian ini di bawah Seksyen 47 namun pihak defendan tidak bersetuju meneruskan dan tidak ingin untuk menceraikan Linda hari ini, jadi kes hari ini ditangguhkan selepas raya,” katanya.

Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, berkata, tiada lagi rundingan yang mahu dilakukan seperti yang diminta pihak Beego.

“Saya akan bawa salah seorang daripada keluarga saya yang memang tahu rumah tangga kami memang sudah lama bermasalah.

“Sebenarnya saya sudah tahu memang susah dia nak melepaskan saya, cuma saya ikut saja prosedur seterusnya. Saya akan berjuang habis-habisan sebab saya sudah tak boleh.

“Ini sudah kali ketiga, kali pertama dan kedua saya sudah puas berunding. Sudah bertahun saya bersabar, setakat bersabar dalam beberapa bulan di sini (mahkamah) saya okey sahaja, sebab saya tahu bagaimana proses di mahkamah dan sebelum saya failkan pun sudah berbulan saya memikirkannya,” katanya.

Terdahulu, Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.

Pasangan mendirikan rumah tangga pada Jun 2013. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI