PETALING JAYA – Pelakon Azhar Sulaiman menegaskan tiga penyampai segmen 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Radin Amir dan Azad Jasmin bukan individu rasis meskipun tular video kontroversi mereka didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan baru-baru ini.
Azhar, 53, bagaimanapun tidak menafikan kesilapan yang dilakukan mereka namun tiga penyampai radio tersebut tidak pernah mempunyai isu untuk bekerja dengan kaum lain sebelum ini.
Saya berani cakap berdasarkan sikap mereka sebelum insiden kontroversi segmen 3 Pagi Era bahawa mereka tidak rasis.
“Mereka juga tidak mempunyai masalah bekerja dengan kaum lain.
Ketiga-tiga penyampai radio ini menjunjung al-Quran dan undang-undang negara tetapi sebagai manusia mereka tidak lari daripada membuat kesilapan .
“Segelintir artis termasuklah saya adakalanya kalau depan kamera memang boleh hilang kawalan dan menggila dengan perbuatan serta percakapan kami,” katanya dalam Instagram hari ini.
Dalam masa sama, dia juga berpendapat isu tersebut berpunca daripada tindakan pihak penyiar atau individu yang memuat naik konten dalam media sosial.
Sudah menjadi standard praktis untuk pihak penyiar atau editor menapis setiap konten yang boleh atau tidak dimuat naik dalam media sosial.
“Saya kurang bersetuju apabila mereka dikenakan tindakan kerana mereka juga adalah sebahagian daripada kandungan yang pihak penyiar dan individu muat naik dalam konten kontroversi tersebut,” ujarnya.
Dalam ruangan komen, rata-rata netizen turut bersetuju dengan kenyataan tersebut dan berharap tiga penyampai radio berkenaan terus kuat berdepan dengan ujian pada bulan Ramadan ini.
Sepatutnya editor video itu yang kena gantung kerja. Saya setuju dengan kenyataan abang Azhar untuk kali ini.
“Kasihan bila fikir semula nasib mereka. Memang silap tapi perkara itu bukan 100 peratus kesalahan mereka sahaja,” komen netizen.
Semalam, Nabil, Radin dan Azad selesai memberi keterangan selama lebih dua jam di Bukit Aman, Kuala Lumpur berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Selain tiga penyampai itu, tiga lagi kakitangan Era FM juga turut beredar meninggalkan premis itu.
Kelmarin, video permohonan maaf daripada mereka tular selepas insiden mempersenda tarian kavadi Hindu ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan mencetuskan kontroversi.
Video tersebut mengundang kemarahan ramai kerana didakwa tidak menghormati sensitiviti agama lain.
Rentetan itu, Astro turut memaklumkan tiga penyampai radio dan dua lagi kakitangan digantung tugas sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak. – KOSMO! ONLINE