PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangguhkan sesi rakaman keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan esok kepada 13 Mac ini susulan cuti sakit beliau dilanjutkan sehingga 12 Mac ini.
Menurut sumber, SPRM akan merakam keterangan doktor yang merawat Ismail Sabri untuk mengetahui tahap kesihatan beliau sebelum keterangannya direkodkan Khamis depan.
“Tujuan SPRM merakam percakapan doktor yang merawat Ismail Sabri adalah untuk mengetahui tahap kesihatan beliau sama ada benar-benar berada dalam keadaan baik dan sihat.
“SPRM mengambil berat kesihatan bekas Perdana Menteri itu selain mengenal pasti penyakit yang dihadapi beliau ,” katanya tadi.
Sebelum ini Ismail Sabri dijangka hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 5 Mac lalu untuk memberi keterangan.
Namun, beliau tidak dapat hadir sehingga kini kerana masalah kesihatan dan telah diberikan sijil cuti sakit oleh doktor yang merawatnya sehingga 12 Mac depan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, bekas Perdana Menteri dijangka diambil keterangan pada 13 Mac sekiranya kesihatan beliau baik.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan pada 19 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE