KUALA LUMPUR – Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan jawatan kerusi No. 1 satu badan induk itu dalam pemilihan yang dijadual berlangsung pada 15 Jun depan, namun tidak menghalang jika ada calon lain ingin mencabarnya.
Menurut Shahidan, beliau sama sekali terbuka sekiranya ada calon berkualiti ingin mencabarnya menjelang pemilihan penggal 2025/2029 tetapi menegaskan bahawa pemimpin yang mahu menerajui KOM perlu mempunyai kelayakan serta komitmen tinggi dalam memperkasakan sukan olahraga negara.
“Saya tidak ada masalah untuk memberi laluan jika ada calon yang benar-benar layak dan mampu membawa Olahraga Malaysia ke tahap lebih tinggi. Bagi saya, yang paling penting adalah pembangunan sukan dan masa depan atlet negara.
“Bagi saya, kepimpinan KOM tidak boleh bersifat individu atau hanya memberi kelebihan kepada kumpulan tertentu, sebaliknya perlu membentuk satu pasukan yang kukuh bagi memastikan hala tuju olahraga negara terus berkembang.
“Misi saya adalah mahu melihat sukan olahraga terus maju dan tidak terbantut kerana kepentingan peribadi mana-mana pihak. KOM memerlukan pemimpin yang berwibawa dan mempunyai visi yang jelas, bukan sekadar mahu mencari populariti.
“Jika ada yang lebih baik, saya akan sokong. Cinta saya pada sukan ini sudah menjadi sebahagian darah daging saya. Jadi, saya mahu lakukan terbaik buat persatuan ini,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis KOM di ibu negara, hari ini.
Shahidan turut berkata, keutamaannya kini adalah memastikan persiapan atlet negara bagi menghadapi Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember depan.
“Sukan SEA ini adalah mini Olimpik di peringkat Asia Tenggara. Kita kena berusaha bersungguh-sungguh supaya kita mendapat lebih banyak pingat seperti yang menteri (Hannah Yeoh) sebutkan,” katanya.
Shahidan pernah menerajui KOM dari 2006 hingga 2012 sebelum kembali memimpin badan induk itu pada Jun 2022. Dalam pemilihan berkenaan, beliau menewaskan penyandang ketika itu, Datuk SM Muthu. -KOSMO! ONLINE