MEMEGANG watak sebagai wanita hamil lima bulan dalam filem Wantugo, menjentik emosi aktres Elizabeth Tan yang hakikatnya, sedang berusaha mahu menimang cahaya mata sendiri.
Untuk watak tersebut, pelakon yang mesra disapa Lizzy itu mengakui mempertaruhkan semua emosi yang pernah dilaluinya ketika tempoh kehamilan sekitar tahun lalu sebelum disahkan mengalami keguguran.
“Dalam cerita yang mengangkat konsep permainan maut itu, saya sebagai Isabelle iaitu wanita hamil lima bulan.
“Jadi, sepanjang permainan, sasaran dia hanya memastikan kandungannya selamat.
“Sebelum ini sudah dua kali saya alami keguguran iaitu pada tahun lepas. Jadi, dalam cerita ini saya tak mahu anak saya mati dan saya guna perasaan itu.
“Harap, kalau saya benar-benar sudah hamil nanti, tiadalah berlaku seperti itu pula,” katanya kepada HibGlam.
Teruja, Lizzy berkata, watak tersebut disifatkan sebagai antara yang paling sukar yang pernah dilakonkan selama ini.
Bagi memastikan karakternya meninggalkan impak, dia turut menyelami watak wanita hamil dalam beberapa filem sebagai persediaan awal.
“Watak ini sangat mencabar sebab perlu menjadi lebih feminin dan perlu ubah nada suara untuk lembut sedikit.
“Saya pula orang yang agak kasar, pegang watak polis lebih senang.
“Sebagai persediaan, saya juga menonton cerita yang ada watak wanita hamil, belajar bahasa tubuh dan cara mereka bercakap.
“Harap hasil lakonan dapat diterima sebab saya tak pernah rasa hamil lima bulan,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia mengakui menerima tawaran filem Wantugo kerana mahu mencabar kemampuan diri selain lari daripada watak klise yang sering dilakonkannya sebelum ini.
“Saya terima sebab nak lari watak klise seperti polis dan mahu menjadi versatil.
“Harap orang nak tengok lakonan saya dan boleh buktikan kemampuan sebagai pelakon,” tutur pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-33 itu.

Penakut
Lizzy juga mengakui banyak melawan perasaan takut sepanjang tempoh penggambaran Wantugo.
“Sebenarnya filem ini mengajar saya tentang bagaimana nak mengendalikan rasa takut.
“Realitinya, saya seorang yang penakut kepada semua benda. Adakalanya bayang-bayang sendiri pun saya takut, tidur malam pun tak tutup lampu sebab sangat penakut,” kongsinya.
Disebabkan itu, banyak ekspresi ketakutan yang dipaparkannya sangat jujur dan bukan lakonan semata-mata.
“Saya masuk rumah hantu dalam filem ini pun sudah menangis. Sepanjang hidup tak pernah masuk rumah hantu, termasuk menonton filem seram.
“Otak saya tak boleh bezakan realiti atau rekaan, dengar seperti tak masuk akal tapi itulah saya.
“Jadi, filem ini banyak bantu saya melawan rasa takut itu,” ujarnya lagi.
Selain hamil, pelantun lagu Semua Sudah itu berkata, cabaran lain yang perlu dilaluinya untuk filem tersebut adalah babak berlari dengan memakai kasut tumit tinggi.
“Kami tak banyak adegan aksi sangat tetapi banyak babak berlari dan paling susah, pakai kasut tumit tinggi.
“Watak ini berat juga sebab dia hamil dan karakter saya antara yang paling emosional.
“Filem ini banyak babak menangis. Itu bukan kekuatan saya sebab realitinya, saya individu seorang yang sangat happy dan jarang menangis,” ujarnya lagi.
Selain Lizzy, filem arahan Nurhanisham Muhammad (Labu) itu turut dibintangi Zul Ariffin, Sein Qudsi, Meerqeen, Sky Iskandar, Daiyan Trisha, Elizabeth Tan, Nia Atasha, Yusof Hashim (Ucop) dan Arfie Shah.