PARIS – Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique tetap gembira dengan prestasi anak-anak buahnya walaupun tewas 0-1 kepada Liverpool pada aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Parc des Princes, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, Enrique menganggap keputusan itu sebagai tidak adil buat pasukannya kerana PSG sememangnya mendominasi Liverpool sepanjang perlawanan.
Berdasarkan statistik, PSG berjaya merekodkan 27 percubaan ke arah gawang lawan, namun penjaga gol Liverpool, Alisson Becker turut mencuri perhatian apabila tampil cemerlang dengan melakukan aksi menyelamat.

Alisson melakukan sekurang-kurangnya berjaya menghalang sembilan percubaan terbaik PSG dan mengambil kira situasi itu, Enrique hanya masih boleh berbangga dengan prestasi barisan pemainnya.
“Saya fikir kami berhak untuk mendapatkan keputusan berbeza tetapi inilah bola sepak. Adakalanya kita terpaksa menghadapi keputusan yang tidak adil.
“Musim ini, Liverpool tidak pernah bermain seperti ini. Ia bukan kerana mereka yang memilih tetapi kami yang memaksa lawan bermain sebegini. Tetapi penjaga gol Liverpool (Alisson) turut cemerlang,” kata Enrique.
Gol lewat permainan menerusi Harvey Elliott sudah memadai buat The Reds meraih kemenangan penting sebelum bermain pada aksi timbal balik di Anfield minggu depan. – AGENSI