PETALING JAYA – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mencatat pencapaian cemerlang pada tahun 2024 dengan merealisasikan pelaburan berjumlah RM64.7 bilion serta mewujudkan lebih 14,000 peluang pekerjaan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata pencapaian ini membuktikan kepentingan membuat keputusan pantas oleh kerajaaan.
“(Ini) dalam mana-mana cadangan pelaburan yang dibawa oleh pelabur dalam dan luar negara,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Katanya, semalam Anwar pada peluncuran kerjasama antara kerajaan dan ArmHoldings plc bakal mengangkat darjat serta menambah nilai industri semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) negara.
“Sehubungan itu, koridor pihak berkuasa pelaksanaan koridor utara perlu mengambil peluang untuk memperkasakan pembangunan industri semikonduktor dalam advanced packaging (AP) untuk memperkukuhkan aplikasi industri dan ekosistem high value manufacturing (HVM).
“Serta membangunkan ekosistem teknologi dan rantaian bekalan bernilai tinggi untuk pelaburan berimpak dan bernilai tinggi peningkatan pelaburan dalam industri bernilai tinggi memerlukan kepada tenaga kerja mahir berkualiti yang mencukupi,” ujarnya.
Jelasnya, pembangunan bakat yang efektif penting bagi mengoptimumkan manfaat daripada pelaburan bernilai dan berteknologi tinggi.
“Oleh itu, peranan NCIA beserta pihak swasta menjadi pemangkin untuk Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) untuk menggalakkan pertumbuhan industri semikonduktor berteknologi tinggi di NCER dan Malaysia.
Kata Tunku Nashrul, Perdana Menteri mahu NCER mewujudkan sebuah ekosistem pembangunan bakat yang menyeluruh sebagai pelengkap Pelaburan di Wilayah Utara.
“Ia merangkumi, program pembangunan kemahiran di peringkat tertiari, program intervensi strategik bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan program peningkatan kemahiran pekerja dalam industri,” katanya. – KOSMO! ONLINE