PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir yang bakal melanda ibu kota sehingga pukul 3 petang hari ini.
Menerusi kenyataan daripada MetMalaysia, cuaca itu diramal di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan termasuk Selangor iaitu daerah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
“Di Johor, cuaca sama dijangka berlaku di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru manakala Sabah membabitkan Sandakan (Beluran) dan Kudat (Pitas dan Kudat).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Orang ramai diingati untuk mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di luar rumah semasa ribut petir melanda. – KOSMO! ONLINE