KUALA LANGAT – Premis sisa elektronik atau e-waste haram yang digempur di seluruh negara menerusi Op Hazard bulan lalu berkemungkinan turut melibatkan sindiket jenayah terancang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, risikan polis mengesahkan masih ada premis seumpama itu yang beroperasi di negara ini dan tidak menolak kemungkinan kegiatan itu mempunyai kaitan dengan gengster.
“Semua perkara itu (termasuk jenayah terancang) dalam pemerhatian polis kerana ia melibatkan elemen jenayah dan keselamatan.
“Apabila pengoperasian itu besar (kilang) dan mempunyai rangkaian seluruh negara, ia tentu tidak melibatkan operasi individu,” katanya selepas meninjau sebuah kilang haram memproses sisa elektronik termasuk 50 tan peluru dan kelongsong di Telok Panglima Garang di sini, petang ini.