KUANTAN – Kegembiraan seorang pesara guru melihat pelaburan RM60,000 meningkat kepada RM13.2 juta tidak berpanjangan apabila dia kerugian kira-kira RM174,435.06 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 30 Oktober lalu selepas lelaki berusia 80 tahun tersebut menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan pelaburan Crypto Currency Trading.
“Mangsa membuat pelaburan hampir RM60,000 dan memantau pelaburannya melalui aplikasi SILEGX yang mana dari Oktober 2024 sehingga Februari lalu dia mendapati pelaburannya meningkat sehingga AS$3 juta.
“Mangsa mahu mengeluarkan kesemua wang tersebut, namun warga emas itu diminta untuk membayar cukai berjumlah RM174,435.06,” katanya hari ini.
Menurut beliau, mangsa kemudian membuat satu transaksi pemindahan wang sebanyak RM174,435.06 ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.
Katanya, mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas didesak untuk membuat bayaran cukai dalam jumlah yang lebih besar.
Berdasarkan siasatan awal, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM174,435.06 yang merupakan wang simpanannya.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu sebelum menyertai pelaburan dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan sekiranya menerima panggilan meragukan bagi mengelak ditipu.
“Masyarakat juga diingatkan untuk menyemak nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE