KUALA LANGAT – Seorang lelaki warga asing yang juga pemilik kilang haram memproses sisa elektronik atau e-waste termasuk peluru dan kelongsong di Telok Panglima Garang di sini, dalam senarai dikehendaki dan masih diburu polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan mendapati kilang yang diserbu bulan lalu itu mempunyai dua penama, masing-masing rakyat tempatan dan warga asing.
“Warga tempatan itu telah ditahan, namun warga asing telah menghilangkan diri dan dalam senarai pencarian kita.
“Tanah ini (kilang) diwartakan sebagai zon industri dan tidak menimbulkan sebarang syak sepintas lalu sebelum serbuan dilakukan pihak berkuasa,” katanya ketika meninjau kilang itu petang ini.
Menurutnya, siasatan mendapati kesemua peluru itu dibawa masuk dari luar negara dan kuasa polis adalah tindakan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu berkaitan penemuan peluru manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuka empat kertas pertuduhan.
“Pejabat Daerah juga telah mengesahkan premis itu beroperasi selama hampir dua tahun,” katanya.- KOSMO! ONLINE