PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan semula proses pemilihan penempatan 2,245 pegawai perubatan selepas sistem ePlacement mengalami gangguan teknikal yang menjejaskan agihan asal.
KKM memaklumkan, gangguan teknikal selama satu jam 30 minit ketika sistem dibuka pada 27 Februari lalu menyebabkan kesilapan dalam pemilihan penempatan Pegawai Perubatan Gred UD10.
“Bagi memastikan ketelusan dalam proses penempatan dan menangani isu maldistribusi, KKM mengambil langkah iaitu semua pemilihan yang dibuat pada tarikh itu dibatalkan.
“Pemilihan baharu akan dibuka pada Isnin, 17 Mac ini pada pukul 3 petang menerusi sistem ePlacement,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KKM memberitahu, calon yang ingin mengemukakan rayuan pertukaran penempatan boleh berbuat demikian melalui Google Form dalam sistem ePlacement mulai 17 hingga 23 Mac ini.
Menurut KKM, hanya rayuan dengan dokumen lengkap yang dikemukakan dalam tempoh ditetapkan akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan dan Pertukaran dengan keputusan diumumkan pada 28 April melalui portal Semakan Kerjaya KKM.
“KKM amat kesal atas kesulitan yang dihadapi oleh para calon dan memberikan jaminan bahawa langkah-langkah penambahbaikan akan dilaksanakan bagi mengelakkan isu ini daripada berulang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE