PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan peruntukan RM9.45 juta bagi menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma di masjid-masjid di bawah seliaannya sepanjang Ramadan ini.
JAWI dalam satu kenyataan berkata, peruntukan itu diberikan kepada 70 masjid di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menyediakan 21,000 pek juadah berbuka puasa setiap hari.
Program Iftar Rahmah Madani ini merangkumi set hidangan lengkap seperti nasi beriani, kari daging, acar timun, buah strawberi, anggur, oren, beserta kurma dan air mineral.
Program ini juga diharap dapat membantu golongan asnaf dan B40 yang menetap di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam meringankan beban perbelanjaan mereka.
“Semoga inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan beban tetapi juga membawa keceriaan kepada mereka yang memerlukan di bulan yang mulia ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE