GEORGE TOWN – Polis mengesahkan penemuan semula Muhamad Syahir Ghazali, 30, pemuda yang hilang selepas pulang dari tempat kerjanya di sebuah hotel di Jalan Bukit Gambir, 18 Februari lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) telah mengadakan lawatan ke rumah lelaki itu di Temoh, Perak hari ini susulan berita kepulangannya, malam tadi.
Menurutnya, Muhamad Syahir ditemukan oleh ibu bapanya sendiri pada pukul 10 malam semalam setelah mereka menerima maklumat terdapat seorang individu berada di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Alor Pongsu, arah selatan, sejak beberapa hari lalu,
“Pasukan dari Balai Polis Sungai Nibong ke rumahnya pagi tadi. Dia (Muhamad Syahir) berada dalam keadaan baik, cuma dia mengalami tekanan perasaan dan ingin mencari ketenangan bersendirian,” katanya kepada Kosmo! di sini, sebentar tadi.
Semalam, media melaporkan yang Muhamad Syahir ditemukan duduk berseorangan di sebuah pondok dekat Hentian Sebelah Alor Pongsu arah selatan, Bagan Serai di Perak.
Terdahulu, polis menerima laporan kehilangan juruteknik hotel itu pada 23 Februari lalu selepas tidak pulang ke asrama penginapan sebaik keluar dari tempat kerjanya dengan berpakaian seragam kerja. -KOSMO! ONLINE