PETALING JAYA – Malaysia akan menyertai Sesi Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi esok.
Kementerian Luar berkata, sesi berkenaan bagi membincangkan perkembangan gencatan senjata di Gaza serta kebimbangan terhadap cadangan pengilhakan wilayah itu.
Katanya, penyertaan Malaysia dalam sesi berkenaan akan diketuai oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dijadual menegaskan pendirian tegas negara dalam menolak sebarang usaha pengilhakan Gaza atau pemindahan paksa rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan.
“Selain itu, Malaysia juga akan menzahirkan komitmen penuhnya dalam membantu usaha pembinaan semula dan pemulihan Gaza, termasuk dengan mengadakan kerjasama pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan inisiatif serantau.
“Penyertaan Menteri Luar Negeri ke Sesi Tergempar ini menggariskan komitmen teguh Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dalam mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE