GEORGE TOWN – Seorang tukang cuci diperintah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku mencuri wang bernilai RM7,259 di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Disember tahun lalu.
Tertuduh, C.Murli, 47, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memecah masuk Pejabat ADUN Komtar dengan tujuan mencuri wang utiliti pejabat berkenaan, kira-kira pukul 8.11 malam di Pejabat ADUN Komtar di sini, 26 Disember 2024.
Dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Mengikut fakta kes, pada 27 Disember 2024, seorang pekerja pejabat ADUN Komtar telah mendapati beg berisi wang tunai bagi tujuan pembayaran utiliti pejabat berkenaan berjumlah
RM7,259 telah hilang. Beg berkenaan disimpan di dalam laci.
Pekerja berkenaan kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati tertuduh telah memecah masuk pejabat berkenaan pada 26 Disember 2024, kira-kira pukul 8.11 malam serta mencuri wang berkenaan.
Terdapat cap jari di lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati cap jari adalah positif dengan tertuduh.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Dalam rayuan peguam terhadap tertuduh, peguam YBGK memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan terhadap tertuduh memandangkan dia hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM50 sehari.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dikenakan hukuman penjara 11 bulan serta denda RM2,000 dan sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda, dia boleh dikenakan hukuman penjara selama dua bulan.
Kosmo! difahamkan yang tertuduh tidak membayar denda yang dikenakan itu. -KOSMO! ONLINE