fbpx

Lebih 20,000 murid terima manfaat PROMAK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy (dua dari kanan) pada majlis perasmian PROMAK peringkat negeri Pahang di SK Kuala Koyan baru-baru ini.

LIPIS – Seramai lebih 20,000 murid sekolah rendah dari 97 sekolah di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang menikmati makanan tengah hari percuma menerusi Program Makanan Kesihatan (PROMAK) sejak Januari 2022.

Pengerusi Padiberas Nasional Bhd (BERNAS), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, inisiatif hasil kerjasama BERNAS, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu telah menyediakan lebih sembilan juta hidangan tengah hari untuk murid yang terlibat.

Katanya, menerusi program itu juga, ia dapat memastikan tiada murid daripada keluarga B40 yang tercicir, malah turut diperluas kepada masyarakat Orang Asli bagi membantu menangani masalah malnutrisi dalam kalangan murid sekolah rendah.

“PROMAK telah diperluas dengan tercapainya hasrat BERNAS untuk menyantuni masyarakat Orang Asli dan memastikan anak-anak ini mendapat akses kepada sumber pemakanan yang seimbang di sekolah.

“PROMAK menawarkan pelbagai menu pilihan yang dirancang khas mengikut keperluan pemakanan murid yang sedang membesar.

“Ini kerana makanan asas yang mencukupi dan seimbang untuk anak sedang membesar cukup penting untuk tumbesaran dan perkembangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Makanan Kesihatan (PROMAK) pe­ringkat negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Koyan yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Rohani me­nerangkan, SK Kuala Koyan adalah sekolah Orang Asli pertama di Pahang yang menerima tajaan makanan tengah hari menerusi PROMAK.

“Pahang adalah negeri terbaharu yang menerima tajaan PROMAK dengan seramai 1,534 murid dari empat sekolah iaitu SK Pontian, SK Janglau, SK Rompin dan SK Kuala Koyan mula menerima manfaat sejak Oktober tahun lalu.

“Pihak kami juga sedang mempertimbang untuk memperluas lagi bantuan ini kepada lebih ramai murid Orang Asli pada masa akan datang,”katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa sejak pelaksanaan PROMAK pihaknya menerima maklum balas positif berhubung peningkatan berat badan, ketinggian serta kehadiran murid berdasarkan rekod Data Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK).

“Sebagai contoh, di Kedah, data Segak menunjukkan 45 sekolah mendapat manfaat PROMAK dan kadar murid kurang berat (underweight) menurun sebanyak tiga peratus daripada 12 peratus atau 634 murid pada 2023 kepada sembilan peratus atau 457 murid pada 2024,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI