PETALING JAYA – Kempen Cakap Baik-Baik digerakkan sebagai usaha berterusan untuk memupuk budaya komunikasi positif serta memperkukuhkan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kempen ini menggalakkan setiap individu untuk berkomunikasi dengan penuh rasa hormat, berbudi bahasa serta mengelakkan kata-kata negatif, hinaan atau provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan sosial.
“Dalam dunia yang serba moden ini, adakalanya kata-kata yang tidak dipertimbangkan boleh menyebabkan ketegangan, permusuhan dan perpecahan antara kaum serta agama.
“Justeru, kempen ini menekankan kepentingan berfikir sebelum berkata serta menghargai perbezaan yang ada,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, kempen ini bukan sahaja menyasarkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang tetapi juga melibatkan semua pihak termasuk media, pemimpin komuniti serta individu.
“Kita semua bertanggungjawab dalam memastikan bahawa negara kita terus berkembang dengan semangat persaudaraan yang kuat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE