PETALING JAYA – Kekalahan mengejut beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di pusingan pertama Orleans Masters 2025 semalam menimbulkan persoalan menjelang Kejohanan Badminton All England di Birmingham yang akan berlangsung 11 Mac ini.
Gandingan ranking kelima dunia itu beraksi di bawah paras sebenar selepas tunduk kepada beregu muda China, Sun Wen Jun-Zhu Yi Jun dengan keputusan 18-21, 8-21 dalam tempoh kurang 30 minit di Palais des Sports, Paris, Perancis.
Menurut ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan itu adalah disebabkan kecederaan pergelangan tangan dialami Aaron.
Katanya, disebabkan masalah itu, Aaron tidak dapat beraksi pada tahap prestasi terbaiknya dalam perlawanan berkenaan.
“Jadi, untuk All England, saya menunggu laporan daripada jurulatih, Muhammad Miftakh terlebih dahulu untuk tahu sama ada Aaron boleh beraksi atau tidak.
“Buat masa sekarang kita belum tahu lagi boleh atau tidak,” katanya.
Aaron sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan berulang di pergelangan tangan, namun Herry ketika itu memaklumkan bahawa masalah berkenaan tidak serius.
Di All England nanti, Aaron-Wooi Yik yang mara ke pentas final tahun lalu akan membuka tirai kempen tahun ini menentang gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di pusingan pertama. – KOSMO! ONLINE