fbpx

‘Kami dihina, saya hanya balas dengan emoji hati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EIRA Syazira mengakui turut terkesan dengan kontroversi yang menimpa Azad namun yakin semua itu adalah ujian Tuhan terhadap mereka.

PETALING JAYA – Pelakon Eira Syazira turut terkena tempias impak perbuatan suaminya Azad Jasmin dan dua lagi penyampai radio Era iaitu Nabil Ahmad serta Radin Amir yang tular sehingga disiasat pihak berkuasa.

Dicaci dan diherdik dengan kata-kata kesat, Eira bagaimanapun kekal tenang dan tidak melenting kerana yakin dirinya tidak bersalah serta yakin Tuhan sentiasa bersamanya.

“Saya dan anak-anak juga terpalit, agama kami dihina, namun saya hanya balas dengan emoji hati.

“Saya tak marah pada mereka sebab saya tak bersalah, hanya senyum dan ucap alhamdulillah, semuanya tenang sahaja,” katanya dalam siaran langsung TikTok.

Berkongsi keadaan terkini suaminya, Eira memberitahu Azad berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja ketika ini.

“Jangan risau, Pak Azad baik-baik sahaja. Kalian semua doakan sahaja.

“Saya cakap pada dia supaya sabar, tenang dan responnya hanya diam sahaja. Jangan lama-lama berduka lara sebab ada Allah.

“Tak mengapa, lagi ramai orang caci maki dan hina, lebih banyak barakah yang dapat pada bulan Ramadan ini. Orang terpilih sahaja yang Allah uji untuk menghadapi dugaan sebegini,” jelasnya.

Sementara itu, rata-rata netizen termasuk dalam kalangan peminat berketurunan India menzahirkan rasa simpati selain memaafkan tindakan kontroversi tiga penyampai radio Era tersebut.

Perkara tersebut terbukti apabila Eira juga turut menerima komen daripada individu berbangsa India bernama Shantini dalam TikTok yang menerima permohonan maaf daripada tiga penyampai radio berkenaan.

SEORANG peminat berketurunan India menulis komen memaafkan perbuatan Azad dan sedar setiap manusia pasti melakukan kesilapan.

“Hai Encik Azad, apa yang berlaku sudah pun terjadi dan awak telah meminta maaf.

“Kami menerimanya dalam lubuk hati yang terdalam.

“Kami juga manusia dan melakukan kesilapan. Semuanya akan baik-baik sahaja. Tuhan sentiasa menyebelahi awak,” katanya

Komen tersebut sekali gus mengundang rasa terharu dalam kalangan netizen lain dan berharap isu berkenaan segera diselesaikan secara baik.

Semalam, Nabil, Radin dan Azad selesai memberi keterangan selama lebih dua jam di Bukit Aman, Kuala Lumpur berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.

Selain penyampai-penyampai program itu, tiga lagi kakitangan Era FM juga turut beredar.

Kelmarin, video permohonan maaf daripada mereka tular selepas insiden mempersenda tarian kavadi Hindu ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan mencetuskan kontroversi.

Video tersebut mengundang kemarahan ramai kerana didakwa tidak menghormati sensitiviti agama lain.

Rentetan itu, Astro turut memaklumkan tiga penyampai radio dan dua lagi kakitangan digantung tugas sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI