INDIAN WELLS – Bekas juara Wimbledon dua kali, Petra Kvitova tersingkir seawal pusingan pertama Indian Wells selepas tewas kepada pemain Perancis, Varvara Gracheva awal pagi tadi.
Kvitova yang baru kembali beraksi selepas berehat 18 bulan kerana melahirkan anak masih belum menemui rentak permainan terbaiknya apabila tumpas 6-4, 3-6, 4-6 di Pusat Tenis Indian Wells, California, Amerika Syarikat (AS).
Pemain berusia 34 tahun itu pernah tewas kepada Jodie Burrage di Austin, AS dan perlawanan kali ini menyaksikan situasi yang hampir sama apabila dia gagal menutup perlawanan biarpun memenangi set pertama.
Gracheva, ranking ke-70 dunia, meluahkan rasa kagumnya terhadap Kvitova yang pernah menjuarai Wimbledon pada 2011 dan 2014.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepadanya kerana kembali ke gelanggang selepas melahirkan anak. Ia bukan sesuatu yang mudah, malah menginspirasi buat atlet wanita di seluruh dunia,” katanya.
Gracheva kini bakal berdepan pemain muda Russia, Mirra Andreeva yang tampil cemerlang di Dubai bulan lalu dengan menewaskan tiga juara Grand Slam untuk muncul juara WTA 1000 termuda dalam sejarah.
Dalam aksi lain, bintang Perancis, Caroline Garcia menewaskan pemain wildcard AS, Bernarda Pera 6-3, 6-4 untuk mara ke pusingan kedua dan bakal bertemu juara bertahan, Iga Swiatek.
Dalam saingan lelaki, Kei Nishikori mempamerkan semangat juang tinggi apabila menewaskan Jaume Munar 6-2, 5-7, 7-6 (7/3) walaupun mengalami kekejangan otot pada set ketiga.
Dengan kemenangan tersebut, Nishikori bakal berdepan pilihan ke-18 dari Perancis, Ugo Humbert di pusingan kedua nanti. – AGENSI