ROTTERDAM – Simone Inzaghi memuji semangat juang anak-anak buahnya selepas Inter Milan mengukuhkan benteng pertahanan bagi memastikan kemenangan 2-0 ke atas Feyenoord yang dibimbing Robin van Persie dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.
Gol daripada Marcus Thuram dan Lautaro Martinez di Stadium De Kuip itu memastikan Inter pulang ke Milan dengan bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di San Siro minggu depan.
“Thuram dan Lautaro (Martinez) beraksi cemerlang, kemudian bila (Mehdi) Taremi dan (Marko) Arnautovic masuk, mereka juga memberi impak besar.
“Pemain-pemain sayap tidak kurang hebatnya dan semua bekerja keras. Ini bukan perlawanan yang sangat mudah sebenarnya,” kata Inzaghi.
Lebih membanggakan, Inter terus mempamerkan ketahanan luar biasa apabila hanya bolos sekali dalam sembilan aksi UCL musim ini iaitu rekod terbaik dalam kalangan kelab elit Eropah.

Ketiadaan penjaga gol utama, Yann Sommer yang mengalami patah ibu jari langsung tidak merencatkan benteng Inter apabila penggantinya, Josep Martinez cemerlang menjaga gawang.
“Martinez buktikan kualiti yang kami tahu dia miliki. Dia tenang dan cepat menyesuaikan diri. Tugas sebagai penjaga gol Inter bukan mudah, tapi dia sudah bersedia,” tambah Inzaghi.
Bagaimanapun, Inter masih dibelenggu krisis kecederaan apabila beberapa tonggak utama seperti Carlos Augusto, Federico Dimarco, Nicola Zalewski dan Matteo Darmian masih dalam proses pemulihan.
“Carlos (Augusto) ada peluang untuk kembali lebih awal, manakala Zalewski mungkin sempat cergas menjelang aksi timbal balik. Untuk Dimarco dan Darmian, situasi mereka lebih sukar, tapi kami percaya kepada pasukan perubatan,” jelasnya. – AFP