fbpx

Ikon kartunis Pulau Mutiara meninggal dunia akibat serangan jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azmi disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, petang semalam.

GEORGE TOWN – Kartunis terkenal, Mohd. Azmi Mohd. Hussin, 41, dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas rebah dan tidak sedarkan diri di sebuah klinik swasta di Air Itam, di sini petang semalam.

Bapa tiga anak sebelum itu mengadu sakit dada dan penat selepas berkunjung ke bazar Ramadan bersama isteri dan anak sulung berusia 17 tahun.

Rakan baiknya, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan, 42, berkata, Azmi kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas beberapa kali diberikan CPR di klinik berkenaan.

“Bagaimanapun doktor memaklumkan dia sudah meninggal dunia sebelum tiba di hospital. Jenazah baru selesai dibedah siasat pada pukul 11 pagi tadi dan sedang dimandi serta dikafankan di hospital.

“Doktor mengesahkan kematiannya akibat serangan jantung. Jenazah akan disembahyang dan dikebumikan di Masjid Hashim Yahya di Jalan Perak selepas solat zuhur,” katanya kepada Kosmo! di sini tadi.

Beritahu Rizwan, kali terakhir mereka berbual menerusi WhatsApp pada Isnin lalu dan Allahyarham ada menyatakan hasrat untuk menyalurkan infaq di Tanah Suci Mekah selain membuka galeri menghimpunkan semua karya seninya.

“Arwah tahu saya akan mengerjakan umrah bulan ini. Dia beritahu mahu kirimkan duit di sana.

“Memang rasa sedih kerana kami sudah mengenali rapat sejak lebih 10 tahun lalu,” katanya yang memberitahu Allahyarham Azmi adalah ahli jawatankuasa Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai artis karikatur jalanan pada usia 29 tahun dengan pencapaian terbesarnya menghasilkan buku komik kedua bertajuk ‘The Little Mamak’ pada 2016 dan tersenarai antara 50 buku terbaik di Malaysia oleh Majlis Buku Negara.

Buku komik terakhir Allahyarham Mohd. Azmi ialah ‘Tanjong Life: Back to the 90’s yang dihasilkan pada 2022.

Lelaki itu juga pernah mewakili negara ke Pesta Buku di Frankfurt, Jerman dan menerima pengikhtirafan dalam Malaysia Book Of Record iaitu Most Caricature Live Painting in 24 Hours’ dengan melukis 320 karikatur dalam masa 24 jam pada 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI