LIPIS – Rata-rata ibu bapa Orang Asli di Kampung Kuala Koyan melahirkan rasa syukur dan gembira dengan pelaksanaan Program Makanan Kesihatan (PROMAK) anjuran Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang menyediakan hidangan tengah hari percuma kepada anak-anak mereka.
Seorang ibu, Normah Chooh, 49, berkata, program itu memberi manfaat besar kepada keluarganya kerana dua anaknya yang kini belajar di Tahun 3 dan 6 dapat menikmati makanan seimbang setiap hari.
“Saya sangat bersyukur dengan adanya PROMAK ini, setiap hari anak-anak dapat makanan sihat dan lengkap. Mereka sering bercerita tentang hidangan yang lengkap dan enak disediakan seperti nasi, ayam, ikan dan buah-buahan,” katanya.

Bagi Asumi Atim, 40, program itu bukan sahaja memastikan murid mendapat makanan berkhasiat tetapi turut membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga.
Justeru beliau berharap, program itu dapat diteruskan kerana memberi manfaat besar kepada murid dan membantu meringankan beban keluarga.
“Melalui PROMAK, murid-murid dapat makan tengah hari di sekolah sebelum menyambung aktiviti kokurikulum pada sebelah petang.

“Bagi murid Islam, mereka boleh terus menghadiri kelas Kafa selepas makan,” katanya.
Sementara itu pengusaha kantin SK Kuala Koyan, Rohana Daud, menyifatkan PROMAK sebagai satu inisiatif yang sangat baik dalam memastikan murid mendapat makanan berkhasiat, terutamanya bagi masyarakat Orang Asli di luar bandar.
“Program itu memberi peluang kepada murid menikmati hidangan sihat yang dirangka khusus bagi memenuhi keperluan nutrisi murid sekolah dalam kalangan murid sekolah rendah.
“Di sini terdapat 166 murid dari Tahun 1 hingga 6 dan semuanya terdiri daripada masyarakat Orang Asli.

“Mereka memang bertuah kerana menerima manfaat daripada program ini,” katanya.
Rohana yang telah mengusahakan kantin sekolah tersebut sejak lima tahun lalu berkata, penyediaan menu harian dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh BERNAS dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). -KOSMO! ONLINE