NARATHIWAT, THAILAND – Ibu kepada penyanyi Bea Sobar Bea, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, atau Eda Ezrin berdoa dan melakukan solat hajat setiap hari agar anaknya dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Zahara Mamat, 47, berkata, doanya tidak pernah putus apabila sangat yakin Eda Ezrin tidak terlibat dengan kes tersebut.
“Hari-hari saya berdoa dan menunaikan solat hajat untuk Eda Ezrin. Alhamdulillah, Allah SWT tunjuk bahawa dia tidak bersalah.
“Ini juga merupakan rezeki Ramadan apabila Eda Ezrin dibebaskan daripada kes dadah. Sejujurnya, saya tidak pernah tidur lena sejak Eda Ezrin ditahan reman di Penjara Wilayah Narathiwat.
“Alhamdulillah, keputusan hari ini memihak kepada kami dan sudah pasti ia merupakan satu berita yang paling gembira buat saya bersama keluarga,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, Eda Ezrin bersama lima yang lain masih belum dibenarkan keluar dari Penjara Wilayah Narathiwat biarpun dibebaskan atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.
Peguam tertuduh, Sufian Abdul Aziz ketika ditemui pemberita berkata, ini kerana pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dalam masa sebulan.
“Buat masa ini, keenam-enam anak guam saya masih belum boleh dibenarkan keluar dan perlu berada dalam penjara sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan rayuan.
“Jika tiada rayuan, mereka akan dibenarkan pulang,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Eda Ezrin atau nama sebenarnya, Eda Ezrin, suami, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dipenjara enam bulan dan denda 4,000 bath (RM526) selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil pil kuda.
Mereka berenam bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kudadi sebuah hotel di Sungai Golok di sini pada 1 November lalu.
Kesemua mereka bagaimanapun tidak perlu membayar denda kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan baik di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.
Keputusan itu dibuat panel dua hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding perbicaraan kes tersebut bulan lalu.
Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira didenda dengan jumlah sama selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini. – KOSMO! ONLINE