fbpx

Dewan Rakyat: Syarikat kargo akan digalak guna ECRL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony. -Foto JAPEN

KUALA LUMPUR – Pihak industri akan digalakkan menggunakan rel Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai mod logistik bagi menggantikan penggunaan kenderaan berat yang sering mengundang pelbagai isu keselamatan di jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dasar baharu bagi perkhidmatan logistik bertujuan menggantikan penggunaan kenderaan berat itu dijangka dibentangkan selepas projek berkenaan siap.

‘Dasar ini membabitkan pemberian insentif kepada pemain industri yang beralih menggunakan ECRL terutama di Pantai Timur.

“Bagi memastikan syarikat kargo dan pengangkutan memilih untuk menggunakan rel ECRL berbanding kenderaan berat,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung perundangan baharu bagi memastikan nahas mengorbankan tujuh orang dan 33 lagi cedera di Kilometer (KM) 204 Lebuh Raya Utara Selatan sebelum ini tidak berulang.

Media pada 4 Februari lalu melaporkan, status kemajuan projek ECRL mencapai tahap 78.5 peratus setakat Januari 2025 meliputi empat buah negeri iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor.

Tahap kemajuan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor yang akan disiapkan pada Disember 2026 dan beroperasi Januari 2027.

Jajaran fasa kedua antara Gombak dan Pelabuhan Klang di Selangor akan disiapkan menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.

Terdahulu, Anthony Loke berkata, siasatan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati terdapat beberapa faktor mempengaruhi kemalangan itu.

Kata beliau, ia termasuk pengurusan kenderaan, pengurusan pemandu dan keselamatan pekerjaan, jalan raya dan persekitaran.

Kata beliau, dua daripada tiga kenderaan perdagangan terbabit dalam insiden itu gagal pengauditan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA)

“Selain daripada tindakan mahkamah ke atas Yinson Transport (M) Sdn Bhd, permit kenderaan yang tayarnya tercabut juga telah dibatalkan berkuatkuasa 11 Februari 2025 kerana rekod pemanduan melebihi had laju.

“Syarikat V Travel Sdn Bhd digantung semua Lesen Kenderaan bermula 18 Februari sehingga 19 Mac ini kerana gagal mematuhi kehendak Kod Amalan Industri Keselamatan (ICOP) Keselamatan.

“Syarikat S&C Maju Enterprise digantung Lesen Pengendali selama 30 hari kerana gagal mematuhi kehendak ICOP Keselamatan dan permit kenderaan dibatalkan kerana rekod pemanduan melebihi had laju,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI