fbpx

Dewan Rakyat: Harga santan naik mendadak sebab kenaikan harga import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga santan segar secara mendadak di pasaran sejak November tahun lalu berpunca daripada kenaikan harga kelapa diimport dari Indonesia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga kelapa diimport dari Indonesia naik berikutan peningkatan eksport kelapa Indonesia ke China.

Menurut beliau, trend petani tempatan lebih cenderung menjual kelapa muda berbanding kelapa tua turut menyumbang kepada bekalan tidak mencukupi untuk pemprosesan santan.

“Kebanyakan penanam kelapa di negara ini memilih untuk menjual kelapa muda kerana harga lebih tinggi dan tempoh tuaian lebih singkat. Ini juga memberi kesan kepada harga kelapa tempatan berikutan permintaan lebih tinggi.

“Faktor cuaca seperti kemarau dan banjir juga memberi kesan kepada pengeluaran kelapa di ladang,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) berhubung langkah kerajaan untuk menangani lonjakan harga produk berasaskan kelapa terutama santan.

Mohamad berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan FAMA Corporation Sdn. Bhd. (Famaco) telah menggerakan langkah menstabilkan harga dengan memastikan bekalan diperoleh.

Kata beliau, sehingga Selasa lalu, FAMA dan Famaco telah membawa masuk bekalan kelapa tua dikupas sebanyak 734 tan metrik dari Sabah dan Indonesia dengan nilai belian berjumlah RM2.01 juta.

Jelas beliau, bekalan kelapa tua tersebut seterusnya diedarkan oleh 42 buah Pusat Operasi FAMA ke pasaran melalui 509 buah outlet pemasaran FAMA.

Tambah beliau, sebahagian bekalan turut diagihkan kepada 16 pemborong dan 202 orang usahawan santan di seluruh negara.

“Indonesia tidak kurangkan jualan kelapa kepada Malaysia cuma naikkan harga. Itu hak mereka kerana pasaran kelapa bergantung kepada permintaan dan penawaran,” katanya.

Mohamad berkata, penggunaan per kapita kelapa di negara ini meningkat daripada 22.7 kilogram seorang dalam setahun pada 2019 kepada 24.9 kg pada tahun 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI