KUALA LUMPUR – Bedah siasat ke atas mayat pegawai tribunal rayuan kastam Kementerian Kewangan yang ditemui maut dalam Pejabat Perbendaharaan, kementerian itu di Putrajaya, semalam, masih belum selesai.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini, kes berkenaan masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Bedah siasat masih belum selesai. Kes masih dalam siasatan SDR.
“Sekiranya ada keterangan yang menunjukkan ada perlakuan jenayah, kes akan diklasifikasikan semula,” katanya ketika ditanya pemberita hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan mayat lelaki berusia 45 tahun itu yang bertugas di Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ditempatkan sebagai pegawai tribunal kastam dijumpai dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan leher dan kaki terjerut ‘cable tie’.
Mangsa ditemui bersama ‘cable tie’ manakala pergerakan mangsa dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) pejabat berkenaan.
Beliau berkata, tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian dan kes tersebut diklasifikasi sebagai SDR.
Mayat pegawai itu dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi, Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE