MADRID – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti menganggap anak-anak buahnya masih belum menampilkan aksi terbaik ketika menang 2-1 ke atas Atletico Madrid pada pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah di Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Walaupun mendahului perlawanan seawal minit keempat hasil jaringan Rodrygo, namun beliau menganggap Real ‘tewas’ pada aksi separuh masa pertama apabila membenarkan Atletico menguasai permainan dan menyamakan kedudukan menerusi Julian Alvarez.
Bagaimanapun, Real yang juga juara bertahan kembali memperkemaskan permainan mereka di separuh masa kedua dan kerja keras itu membuahkan hasil apabila membantu menjaringkan gol kemenangan menerusi pemain sayap, Brahim Diaz.
“Setiap kali bertemu Atletico, ia akan menjadi satu perlawanan yang sangat sukar. Saya rasa seperti kami tewas pada aksi separuh masa pertama kerana terlalu banyak kehilangan bola sehingga memberi kelebihan kepada lawan.
“Selepas itu, kami menampilkan aksi jauh lebih baik di separuh masa kedua selain tidak memanfaatkan setiap peluang yang ada. Saya gembira kerana usaha dibuat membolehkan kami menjaringkan gol kedua,” katanya.
Walaupun memiliki kelebihan satu gol menjelang aksi timbal balik di Wanda Metropolitano minggu depan, namun Ancelotti sedar ia bukan satu tugas mudah kerana perlu beraksi di gelanggang lawan.
“Kami ada kelebihan kecil untuk mara (ke suku akhir) tetapi ia masih sukar pada perlawanan timbal balik nanti. Sudah tentu mereka akan menekan kami, sebab itu saya tidak gembira bertemu Atletico,” ujarnya. – AGENSI