BIARPUN gagal meraih kemenangan, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tetap menarik nafas lega dapat mengikat Buriram United seri tanpa jaringan di Stadium Chang Arena dalam aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) kelmarin.
Katanya, penentuan pasukan layak ke pusingan seterusnya akan diputuskan dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri minggu depan sekali gus memberi kelebihan besar buat JDT.
“Perlawanan antarabangsa di tempat lawan memang sentiasa mencabar, lebih-lebih lagi dalam kejohanan seperti ACLE kerana ia bukan 90 minit semata-mata, tetapi 180 minit.
“Jadi, keputusan seri tetap positif kerana kami akan beraksi di laman sendiri selepas ini dan di sana, JDT adalah pasukan yang sangat kuat,” kata Bidoglio.
JDT belum pernah tewas beraksi di laman sendiri musim ini dan kali terakhir mereka melayan kunjungan Buriram di SSI apabila merekodkan seri tanpa jaringan pada 3 Disember lalu.
Pengendali kelahiran Argentina itu turut memberikan pujian kepada pemain import baharu JDT, Samu Castillejo, 30, yang membuat penampilan pertama walaupun diturunkan sebagai pemain gantian.
“Walaupun dia masih dalam proses menguasai corak permainan dan keserasian rakan sepasukan, ia menunjukkan perkembangan positif memandangkan dia masih baru dengan pasukan.
“Saya percaya dalam masa beberapa hari lagi, dia akan dapat menyesuaikan diri dan seterusnya memberikan impak yang lebih besar buat JDT,” ujarnya.
Dalam masa sama, Bidoglio gembira dengan komitmen dan disiplin pemain ketika diasak pasukan lawan yang terdesak mencari jaringan di laman sendiri kelmarin.
“Dari aspek penguasaan posisi, kami menghadapi kesukaran untuk mencari pemain bebas dan membuka ruang ketika mengatur serangan.
“Kami perlu melihat semula kelemahan itu bagi memperkemaskan permainan menjadi lebih baik menjelang aksi timbal balik pada 11 Mac ini,” ujarnya.