KUALA LUMPUR – Kira-kira 54 individu menjadi mangsa skim pelaburan saham keutamaan boleh tebus atau ‘redeemable preference shares’ (RPS) dengan kerugian dianggarkan RM21.9 juta yang ditawarkan tujuh syarikat yang dikendalikan individu sama.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, syarikat milik individu terkenal itu menggunakan ejen pemasaran bagi mendapatkan data pelanggan yang menjadi sasaran mereka khususnya pesara dari Syarikat Berkaitan Kerjaan (GLC).
Katanya, mangsa diyakinkan bahawa program pelaburan yang ditawarkan dan dianjurkan oleh syarikat ini adalah benar-benar sah dan berdaftar selain ditunjukkan memo maklumat Suruhanjaya Sekuriti (SC).
“Mangsa-mangsa akhirnya mendapat tahu bahawa skim pelaburan yang ditawarkan adalah merupakan satu skim yang tidak sah dan tidak berlesen.
“Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengenakan hukuman kepada syarikat-syarikat berkaitan ini di bawah Seksyen 253 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang dituduh bersama di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ hari ini.
Jelasnya, syarikat berkenaan dikompaun RM50 juta namun, mangsa berpendapat hukuman itu tidak adil dan tidak memadai ekoran tiada tindakan selanjutnya diambil terhadap syarikat berkenaan.
Menurut salah seorang mangsa, Rosman, Zainudin, 59, dia berharap pihak polis dapat membuka semula kertas siasatan berhubung kes ini dan diambil tindakan tegas.
“Kami tampil membawa bukti sahih iaitu perjanjian peguam serta bukti pelaburan ini patuh syariah. Kami hairan sehingga kini tiada pendakwaan dilakukan terhadap beliau.
“Saya hadir mewakili rakan-rakan lain, kumpulan saya sahaja kerugian RM3.5 juta. Saya telah melabur sejak tahun 2022 dengan jumlah yang agak tinggi dan ia telah melepasi tempoh matang,” ujarnya.
Sementara itu, Ho, 70, berharap polis memberi perhatian kepada kegiatan syarikat pelaburan terlibat seterusnya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE