PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila nasi kerabu yang dibelinya di Bazar Ramadan Shahbandar, Kuala Terengganu didapati basi dan berlendir ketika ingin berbuka puasa.
Kisah itu tular di media sosial Facebook yang dikongsikan oleh @lagubarudanlama selepas wanita berkenaan berkongsi pengalamannya membeli juadah berbuka, tetapi tidak dapat menikmatinya kerana nasi yang sudah basi.
“Hari ini pergi bazar cari juadah berbuka, buka nasi, gaul-gaul, nasi dah macam lembik dan berlendir. Putus selera kita, dah la nak buka puasa.
“Baru hari kedua puasa dah macam ni”, katanya.
Menurutnya lagi, dia tidak dapat kembali ke bazar untuk membuat aduan kerana tinggal jauh dan hanya kebetulan melalui kawasan tersebut.
Insiden itu turut mengundang kemarahan netizen yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap peniaga menyifatkan tindakan sedemikian sebagai satu penganiayaan kepada pembeli.
“Kesianlah pada orang yang puasa, orang tengah lapar akhirnya dapat yang basi dan mentah,” kata @prisillachin.
“Lain kali dah tak payah pergi bazar kebanyakkan peniaga cari untung, soal lain letak tepi,” kata @rahmanmohamed.
Sehubungan itu, orang ramai berharap pihak berkuasa dapat menjalankan pemeriksaan lebih ketat terhadap peniaga bazar bagi memastikan makanan yang dijual berada dalam keadaan baik dan selamat dimakan. – KOSMO! ONLINE