fbpx

[VIDEO] Bazar Ramadan lebih teratur, bersih di bawah seliaan DBKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha ketika membuat tinjauan di bazar Ramadan Wangsa Maju.

PETALING JAYA – Pengurusan bazar Ramadan di Wangsa Maju diuruskan sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan tiada ruang bagi pengusaha menjual tapak pada harga ‘kayangan’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, sewa tapak ditawarkan pada harga RM500 termasuk RM200 sebagai cagaran yang akan dipulangkan jika peniaga mematuhi semua syarat dan peraturan.

Katanya, ini bermakna, peniaga hanya membayar sewa RM300 sahaja untuk tempoh sebulan berniaga.

“Ada segelintir pihak membuat aduan mengenai harga petak bazar Ramadan yang boleh mencecah sehingga ribuan ringgit sehingga peniaga kecil terhimpit dan terpaksa menanggung beban kos yang tinggi.

“Hasil risikan, sebelum ini ada peniaga yang sewa petak bazar kendalian pihak ketiga lebih dari satu petak. Kemudian mereka ‘alibabakan’ petak tersebut dengan harga tinggi kepada orang tempatan yang memang nak meniaga pada bulan Ramadan. Yang menjadi mangsa adalah peniaga dan penjaja kecil setempat,” katanya di akaun TikTok ketika membuat tinjauan di bazar itu.

Menurut Zaliha, dia berpuas hati dengan keadaan bazar di situ dengan rata-rata pengunjung memuji pengurusan kawasan itu yang lebih teratur dan kemas tahun ini.

Tambahnya, dia turut membawa pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri bagi memeriksa harga jualan supaya tidak berlaku pencatutan.

“Apa yang kita lakukan ini adalah untuk kebaikan semua pihak. Matlamatnya jelas, iaitu untuk memberi peluang yang adil kepada peniaga kecil dan mengelakkan dari manipulasi pihak-pihak tertentu serta dalam masa yang sama memastikan tata kelola yang baik diamalkan,” katanya.

Netizen turut memberi komen positif di laman pos TikTok beliau mengenai isu tapak bazar Ramadan yang diuruskan secara baik dan berpatutan untuk para peniaga. – KOSMO! ONLINE

@drzalihamustafa DBKL KENDALI BAZAR RAMADAN 2025, BERI PELUANG ADIL KEPADA PENIAGA Selepas mesyuarat di Parlimen, ambil kesempatan untuk singgah ke Bazar Ramadan Wangsa Maju, yang terkenal sebagai bazar terpanjang di Kuala Lumpur. Meriah! Dalam masa yang sama saya tinjau juga bagaimana pengurusan bazar ini dijalankan, memandangkan seperti semua tahu, pada tahun ini, pengurusan ini diurus sepenuhnya oleh DBKL tanpa melalui pihak ketiga. Kenapa kita buat keputusan ini? Pertama: Seperti yang selalu sebut, sebelum ini saya terima pelbagai aduan mengenai harga petak bazar Ramadan yang mencecah ribuan ringgit. Peniaga kecil terhimpit dan terpaksa menanggung beban kos yang tinggi. Pada tahun ini, DBKL hanya kenakan sewaan petak sebanyak RM500 sahaja termasuk cagaran. Jika peniaga mematuhi semua syarat dan peraturan, cagaran sebanyak RM200 akan dipulangkan. Maksudnya kos bersih hanyalah RM300 sahaja. Saya jumpa beberapa peniaga, borak dengan mereka. Ada yang kongsi rasa syukur, bahkan ada yang memberitahu bahawa mereka dah balik modal pun. Alhamdulillah! Antara kewajipan mereka sebelum diberikan lesen bazar ini, mereka diwajibkan mendapat suntikan typhoid bagi mengelakkan risiko penyebaran bakteria kepada pembeli. Kedua: Hasil risikan yang dilaksanakan, sebelum ini ada peniaga yang sewa petak bazar kendalian pihak ketiga lebih dari satu petak. Kemudian mereka ‘alibaba’kan petak tersebut dengan harga yang tinggi kepada orang tempatan yang memang nak meniaga pada bulan Ramadan. Yang menjadi mangsa adalah peniaga dan penjaja kecil setempat. Jadi, untuk tahun ini, DBKL berikan lesen bazar terus kepada peniaga, dan satu nama hanya boleh memohon satu petak sahaja. Dalam masa yang sama, penama lesen tersebut perlu berada di petak mereka pada setiap masa. Kalau DBKL buat pemantauan, dan didapati penama lesen tiada di tapak, kita akan ambil tindakan. Saya sempat tanya sikit pandangan pengunjung tadi. Rata-rata memuji pengurusan bazar tahun ini. Katanya lebih kemas. Harga jualan pun berpatutan. Saya bawa bersama pegawai KPDN tadi untuk pantau harga, dan Alhamdulillah, harga jualan berada dalam lingkungan yang wajar. Apa yang kita lakukan ini adalah untuk kebaikan semua pihak. Matlamatnya jelas, iaitu untuk memberi peluang yang adil kepada peniaga kecil dan mengelakkan dari manipulasi pihak-pihak tertentu serta dalam masa yang sama memastikan tata kelola yang baik diamalkan. Tahniah DBKL kerana merealisasikannya! #DrZ #WilayahPersekutuanKita #MalaysiaMADANI #MADANIBekerja ♬ original sound – Dr Zaliha Mustafa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI