PARIS – Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique memulakan perang psikologi dengan menyatakan Liverpool antara kelab terbaik di dunia ketika ini menjelang aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi esok.
Menurut Enrique, prestasi skuad The Reds yang dikendalikan oleh Arne Slot itu cukup konsisten selepas berjaya mendahului pusingan liga UCL awal musim ini selain masih gah memimpin carta Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Saya cukup arif dengan corak permainan Liverpool dan tidak ada keraguan mereka adalah pasukan terbaik di Eropah tidak kira dari aspek keputusan dan corak permainan di atas padang.
“Saya rasa kedua-dua pasukan lebih layak untuk bertembung di pentas final, tetapi kami akan buat yang terbaik dalam misi meraih keputusan positif di laman sendiri nanti,” katanya.
Mengulas lanjut, Enrique turut mendakwa Liverpool memiliki corak permainan yang sama seperti pasukan Ligue 1, Lille yang berjaya ditewaskan dengan kemenangan bergaya 4-1 pada Ahad lalu.
“Saya rasa tiada perubahan taktikal yang akan dibuat kerana Liverpool dan Lille memiliki corak permainan yang hampir sama.
“Jika kita dapat berikan tekanan kepada mereka daripada beraksi seperti biasa, mereka akan mula melakukan hantaran bola tinggi. Saya yakin pasukan sudah bersedia untuk berjuang sehingga wisel penamat,” katanya. – AGENSI