MUNICH – Pertembungan dua jaguh Bundesliga, Bayern Munich dan Bayer Leverkusen pada aksi 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Allianz Arena awal pagi esok pastinya menjadi perhatian peminat bola sepak dunia.
Aksi 16 terbaik Liga Juara-Juara itu akan menyaksikan kedua-dua pasukan membuat perhitungan keempat dalam saingan musim ini dengan aksi terakhir dalam DFB Pokal menyaksikan Leverkusen mencatat kemenangan.
Walaupun memiliki rekod kurang baik setiap kali bertemu Leverkusen, namun jurulatih Bayern, Vincent Kompany berkata, beliau dan pemain-pemainnya sudah tidak sabar untuk menggalas cabaran itu.
“Kedua-dua pasukan akan bertemu buat kali keempat dan kelima pada aksi 16 terbaik Liga Juara-Juara nanti. Bagi saya, perlawanan ini memang dinanti-nantikan kerana mempertemukan dua pasukan terbaik di Jerman.
“Sudah tentu kami teruja dan tidak sabar untuk bermain kerana kami akan berdepan salah satu pasukan terbaik. Kami akan cuba melakukan segala-galanya bagi memastikan kemenangan menjadi milik Bayern,” katanya.
Sementara itu, Bayern juga mendapat suntikan semangat apabila pemain tengah, Joshua Kimmich dilaporkan sudah pulih daripada kecederaan dan dijangka cergas sepenuhnya untuk bertemu Leverkusen.
“Saya tidak boleh beri jaminan bahawa Kimmich sudah cergas sepenuhnya tetapi dia keadaannya semakin baik. Sekiranya semua berjalan lancar, saya fikir dia boleh diturunkan bertemu Leverkusen nanti,” ujar Kompany. – AGENSI