BALING – Seorang tukang kebun terbunuh apabila motosikal yang dia tunggang merempuh seekor lembu sado di Kampung Sera, Jalan Baru Baling-Kupang, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, mangsa, Muhammad Noor Ikhwan Sudin, 43, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah pada bahagian muka dan badan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mohd. Azmi Mokhtar berkata, kemalangan motosikal jenis Honda dan kereta Perodua Bezza.

Katanya, siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika kereta tersebut datang dari arah Bakai menghala ke Baling.
“Kereta itu bergerak lurus sebelum melanggar lembu sado yang berada di tengah laluan. Akibat perlanggaran itu, haiwan tersebut melambung ke atas bumbung kereta sebelum terjatuh atas jalan,” katanya di sini hari ini.
Pada masa sama, mangsa yang menunggang motosikal di belakang kereta juga tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan tersebut.
“Rempuhan itu mengakibatkan penunggang motosikal parah dan disahkan maut di tempat kejadian. Dua penumpang kereta cedera ringan dan dihantar ke Hospital Daerah Baling bagi mendapatkan rawatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE