GEORGE TOWN – Seorang lelaki tempatan yang ditahan selepas dipercayai bertindak memecah masuk Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, Disember tahun lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pagi esok.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, penahanan ke atas suspek berusia 47 tahun itu dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) pada 1 Mac lalu.
“Hasil siasatan mendapati suspek telah melakukan jenayah curi kira-kira pukul 8.50 malam pada 26 Disember tahun lalu dan laporan polis dibuat pada keesokannya, 27 Disember.
“Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Jenayah pagi esok,” katanya di sini petang tadi. -KOSMO! ONLINE