PETALING JAYA – Jabatan Penjara mengesahkan terdapat beberapa aduan daripada keluarga banduan mengenai sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai penjara dan meminta wang kononnya bagi pembelian makanan istimewa.
Dalam satu kenyataan Jabatan Penjara, sindiket tersebut menggunakan nama samaran seperti Sarjan Haziq, Sarjan Akmal, Sarjan Nazri, Sarjan Zul, Sarjan Sani dan Sarjan Zam untuk memperdaya ahli keluarga banduan melalui pesanan ringkas aplikasi WhatsApp.
“Sindiket juga menggunakan pelbagai nombor telefon mudah alih dan meminta sejumlah wang kononnya untuk pembelian makanan istimewa bagi prospek (banduan) di dalam institusi penjara.
“Sindiket penipuan ini juga menggunakan beberapa akaun bank tumpangan bagi transaksi wang daripada ahli keluarga atau waris prospek,” katanya hari ini.
Jabatan itu memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang terlibat dan pihaknya akan bekerjasama dalam membantu siasatan.
“Sekiranya didapati terdapat unsur kecuaian atau kelemahan prosedur semasa melaksanakan tugas, Jabatan Penjara tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Sehubungan itu, Jabatan Penjara menasihatkan ahli keluarga banduan agar tidak membuat sebarang transaksi wang kepada individu atau nombor akaun yang mencurigakan.
“Orang ramai juga disarankan membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran sekiranya menerima pesanan seumpama ini.
“Selain itu, melaporkan perkara tersebut kepada pihak institusi penjara bagi tindakan lanjut,” katanya.
Jabatan Penjara menegaskan bahawa pihaknya komited memastikan keselamatan serta kesejahteraan banduan dan keluarga mereka daripada menjadi mangsa penipuan. – KOSMO! ONLINE