BELGRADE – Satu klip video tular memaparkan Ahli-ahli Parlimen Serbia melempar bom asap dan gas pemedih mata di dalam Dewan Parlimen ketika persidangan sedang berlangsung, lapor akhbar The Sun UK.
Protes itu dilakukan sebagai tanda sokongan terhadap demonstrasi pelajar susulan insiden bumbung stesen kereta api runtuh yang mengorbankan 15 orang, empat bulan lalu.
Rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan ahli politik pembangkang melemparkan bom asap hitam dan merah jambu di dalam dewan.
Ahli-ahli Parlimen lain melarikan diri dalam keadaan panik sambil mencari tempat untuk berlindung.
Blok pembangkang turut menaikkan bendera dan sepanduk bertulis ‘Serbia bangkit untuk rejim tumbang’.
Speaker Dewan, Ana Brnabic menegaskan bahawa sidang itu akan diteruskan.
“Parlimen akan terus bekerja dan mempertahankan Serbia. Kami akan bekerja hari ini (semalam) mengikut peraturan prosedur sehingga pukul 6 petang (waktu tempatan).
Situasi bertambah huru-hara apabila gangguan itu dilakukan secara berterusan dengan pembangkang membunyikan hon serta wisel semasa wakil kerajaan bersuara.
Kekecohan itu mencederakan sekurang-kurangnya tiga Ahli Parlimen, dengan seorang berada dalam keadaan kritikal akibat diserang strok.
Dalam masa sama, orang ramai berkumpul di hadapan bangunan Parlimen, manakala pasukan polis terpaksa dikerahkan. – AGENSI