GEORGE TOWN – Polis berjaya menyelesaikan kes penemuan peluru di kawasan tempat pembuangan sampah di Bukit Jambul dalam tempoh 24 jam selepas seorang lelaki mengaku sebagai individu yang meletakkan beg berisi peluru di lokasi kejadian semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil siasatan mendapati lelaki tempatan berusia 46 tahun itu sebelum ini menemui peluru berkenaan ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan di sebuah rumah pada tahun lalu.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai penyelenggara bangunan itu ditahan polis kira-kira pukul 1 tengah hari tadi ketika disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
“Lelaki tersebut mengaku meletakkan beg berisi peluru di lokasi berkenaan bagi tujuan pelupusan sebelum menghubungi pihak polis bagi melaporkan penemuan tersebut.
“Berdasarkan pengakuan itu, pasukan penyiasat kini sedang menjalankan tindakan susulan bagi mengesahkan keterangannya,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan sebuah beg mengandungi sejumlah peluru hidup dan kosong jenis kaliber 22 ditemui di kawasan tempat pembuangan sampah di sebuah pangsapuri di Bukit Jambul petang semalam. – KOSMO! ONLINE